Video MEDIA SOSIAL

Mangsa, Mohd. Afiq Zahran Zamri, murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Sengkang dilaporkan hilang sejak pukul 5 petang semalam selepas dipercayai sedang bermandi dengan rakan-rakannya di anak sungai berkenaan.

Ketua Polis daerah, Superintenden Mohad Idris Samsuri berkata, mangsa dipercayai tergelincir ketika mahu naik ke tebing sungai yang berkedalaman kira-kira dua meter itu.

“Mangsa ditemukan pada jarak 700 meter dari lokasi mereka dipercayai mandi dan mayat kini berada di Hospital Tangkak untuk proses bedah siasat dan urusan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Bukit Gambir, Mohd. Khairul Sufian Dahari berkata, mayat kanak-kanak terbabit ditemukan tersangkut pada sebatang pokok sawit yang melintang di anak sungai tersebut oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Zon Muar.

“Pihak bomba yang dianggotai 23 anggota dari Balai Bomba Bukit Gambir dan empat anggota PPDA pada mulanya turut memasang jaring pada penghujung anak sungai berkenaan bagi mengelak mangsa hanyut berikutan kami hanya menerima panggilan kecemasan kira-kira dua jam selepas kejadian,” katanya. - UTUSAN ONLINE