MOHAMED HANIPA MAIDIN
MOHAMED HANIPA MAIDIN

Mohamed Hanipa, 49, jatuh dari pentas utama ke lantai selepas beberapa minit Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyampaikan amanat dalam majlis itu yang berlangsung di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra.

Keadaan itu menyebabkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bersama beberapa menteri dan timbalan menteri yang berada di pentas sama turun memberikan pertolongan kepada Mohamed Hanipa.

Sejurus selepas insiden berkenaan, Dr. Mahathir menghentikan amanatnya seketika, namun beliau meneruskan ucapan selepas pasukan bantuan perubatan tiba.

Ketika kejadian, Mohamed Hanipa berada di sebelah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr. Md. Rafik Md. Farid iaitu kedudukan paling hujung pentas.

Mohamed Hanipa tu­rut diberikan bantuan kecemasan oleh anggota-anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebelum dibawa ke Hospital Putrajaya dengan menaiki ambulans.

Pada April 2016 lalu, Mohamed Hanipa yang juga Ahli Parlimen Sepang pernah pengsan semasa sidang Dewan Rakyat dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan menaiki ambulans.

Susulan kejadian tersebut, beliau menerima rawatan di HKL dan Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) kerana serangan strok.

Dalam pada itu, bercakap kepada pemberita selepas selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR), Dr. Mahathir berkata, Mohamed Hanipa berada dalam keadaan stabil dan kini menerima rawatan lanjut di hospital.

“Beliau sekarang OK dan kini berada di hospital,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat berkenaan di Bangunan Perdana Putra di sini.

Sementara itu, dalam majlis berasingan, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, Mohamed Hanipa perlu dipantau sekurang-kurangnya dalam tempoh 24 jam.

“Beliau mahu keluar dari wad tetapi doktor masih belum benarkan kerana perlu dipantau. Punca beliau rebah kita belum ketahui,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Khas Menteri Bersama Warga Kementerian Ke­sihatan di bangunan Kementerian Kesihatan di sini.