Itu luahan Mohamad Iqbal Rahman, 17, rakan kepada Mohamad Alif Aiman Azhar, 15, yang maut selepas motosikal diboncengnya dilanggar sebuah teksi di Jalan Pantai, di sini awal pagi ini.

Kejadian pukul 1.45 pagi itu turut mengorbankan rakan Mohamad Alif Aiman, Kamarul Fathullah Afiq Kamarul Hashim, 19, manakala seorang lagi rakan mereka, Mohamad Nur Hafizan Ahmad Raya, 17, cedera kedua-dua belah kaki.

Kemalangan berlaku apabila ketiga-tiga mangsa bersama-sama dua lagi rakan mereka yang menaiki tiga buah motosikal dalam perjalanan pulang ke Pasir Gudang dilanggar teksi ber­kenaan ketika berhenti pada bahu jalan untuk membaiki sebuah motosikal yang rosak.


Video Oleh NUR AISYAH MAZALAN

Menurut Mohamad Iqbal, Mohamad Alif Aiman pernah membantunya memotong kain kafan untuk digunakan bagi kursus pengurusan jena­zah yang dikendalikan bapanya baru-baru ini.

“Bapa saya sudah 25 tahun uruskan jenazah dan baru-baru ini arwah pernah bantu kami memotong kain jenazah. Tidak sangka kain jenazah yang dipotong olehnya itulah digunakan untuk mengkafankan jenazah arwah.

“Arwah selama ini tidak pernah bantu saya potong kain kafan dan sememangnya takut bila melibatkan hal pengurusan jena­zah termasuk kain kafan itu sendiri,” katanya ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini hari ini.

Sementara itu, bapa kepada Kamarul Fathullah Afiq, Kamarul Hisham Abdul Rahim, 43, berkata, dia sekeluarga tidak menyangka hasrat anak sulung daripada tiga beradik itu untuk mendirikan rumah tangga pada 17 Disember ini tidak kesampaian.

Ujarnya, anaknya itu bersama Farzana Aflah Aliman, 19, sudah mendaftarkan untuk menyertai majlis pernikahan dan persandingan beramai-ramai anjuran Majlis Perbandaran Pasir Gudang.