Ahmad Fakhrurazi Shafie, 45, disahkan meninggal dunia di laman rumah sementara anaknya yang berusia tiga tahun itu, Muhammad Aqil Harith berada dalam pelukan sambil menangis dalam kejadian kira-kira pukul 8.40 pagi.

Mangsa yang merupakan Timbalan Ketua UMNO cawangan Kuala Ibai dikatakan lemas setelah terhidu asap tebal dalam kebakaran di ruang depan di tingkat bawah rumah kembar dua tingkat itu.

Difahamkan, sebelum kejadian Ahmad Fakhrurazi yang juga seorang peniaga dikatakan keluar menghantar isterinya, Tengku Mastura Tengku Ahmad, 30-an ke tempat kerja di Pejabat Perhubungan UMNO negeri manakala, tiga lagi anak merekaa berada di sekolah.

Sementara itu, anak saudara mangsa, Ahmad Syahir Azizi Ahmad Zulfa, 18, ketika ditemui berkata, pada mulanya dia berada di rumah neneknya yang terletak berdekatan rumah mangsa sebelum ternampak asap dari rumah Ahmad Fakhrurazi.

Menurutnya, dia terkejut apabila asap yang mulanya disangkakan orang membakar sampah rupanya rumah bapa saudaranya sendiri yang terbakar sebelum disusuli bunyi cermin pecah dan letupan kecil.

“Saya terus bergegas ke tempat kejadian dan saya nampak bapa saudara saya dalam keadaan terbaring di laman depan rumahnya manakala anak bongsunya menangis di atas dadanya,” katanya di sini hari ini.

Ahmad Fakhrurazi merupakan anak kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Datuk Shafie Abdul Rahman dan juga abang kepada bekas Ketua Puteri UMNO Terengganu, Nordiana Shafie.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Azlimin Mat Noor berkata, dua buah jentera bersama 18 anggota bergegas ke lokasi kejadian sejurus Menerima panggilan pukul 8.45 pagi.

Beliau berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah berhampiran.

“Sejurus anggota kami tiba di tempat kejadian, api sedang marak dan mangsa pula dalam keadaan terbaring di depan rumah sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya sambil menambah, jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan.-UTUSAN ONLINE