Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Leftenan Kolonel Effendy Ali berkata, antara kawasan yang terlibat adalah Kampung Batu Hampar, Kampung Pulau Kelapa, Kampung Sungai Putat, Taman Bukit Beruang Bistari dan Taman Melawi.

Katanya, hujan lebat turun mulai pukul 2 hingga 6 pagi ini menyebabkan air melimpah di beberapa kawasan dan sehingga kini dua pusat pemindahan dibuka di Balai Raya Peringit dan Sekolah Menengah Kebangsaan Munsyi Abdullah.

“Pihak APM sedang mengemas kini jumlah mangsa yang ditempatkan di dua pusat pemindahan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Sementara itu, Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) memaklumkan operasi bot `river cruise’ di Sungai Melaka dihentikan untuk sementara waktu berikutan paras air sungai meningkat dan menyukarkan laluan bot ketika melintasi jambatan. - UTUSAN ONLINE