Mayat Muhammad Hamidan Abdul Mutalib, pelajar tingkatan Sekolah Menengah Kebangsaan Beserah ditemukan oleh penduduk kampung pagi ini di pantai Batu Hitam.

Semalam, mangsa bersama 14 rakannya dikatakan bersiar-siar di pantai berkenaan pada pukul 5.45 petang selepas pulang daripada menyertai aktiviti sekolah.

Empat daripada mereka turun ke laut untuk mandi sebelum kelihatan terkapai-kapai dan kejadian itu disedari rakan mereka yang lain.

Dengan bantuan orang awam, dua daripada mereka berjaya diselamatkan manakala Muhammad Hamidan dan Wan Zulkairie Abdullah, 14, dihanyutkan arus.

Mayat Wan Zulkairie ditemukan pasukan bomba dan penyelamat kira-kira pukul 7 petang semalam dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk bedah siasat.

Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli berangkat menziarahi ibu Wan Zulkairie, Fadhilah Abu Bakar, 35 di pekarangan Unit Forensik HTAA malam tadi. - UTUSAN ONLINE