Ahmad Fakhrurazi Shafie, 45, disahkan meninggal dunia di laman rumah sewaktu anaknya yang berusia tiga tahun, Muhammad Aqil Harith masih berada dalam pelukan sambil menangis dalam kejadian kira-kira pukul 8.40 pagi.

Mangsa yang merupakan Timbalan Ketua UMNO cawangan Kuala Ibai dikatakan lemas setelah terhidu asap tebal dalam kebakaran di ruang depan di tingkat bawah rumah kembar dua tingkat itu.

Difahamkan, sebelum kejadian Ahmad Fakhrurazi keluar menghantar isterinya, Tengku Mastura Tengku Ahmad, 38, ke tempat kerja di Pejabat Perhubungan UMNO negeri manakala tiga lagi anak mereka berada di sekolah.

Sementara itu, anak saudara mangsa, Ahmad Syahir Azizi Ahmad Zulfa, 18, ketika ditemui berkata, pada mulanya dia berada di rumah neneknya yang terletak berdekatan rumah mangsa sebelum ternampak asap dari rumah Ahmad Fakhrurazi.

Menurutnya, dia terkejut apabila asap yang mulanya disangkakan orang membakar sampah rupa-rupanya rumah bapa saudaranya sendiri yang terbakar sebelum disusuli bunyi letupan kecil dan cermin pecah.

“Saya bergegas ke tempat kejadian dan saya nampak bapa saudara saya dalam keadaan terbaring di laman depan rumah, mukanya pucat. Anak bongsunya menangis di atas dadanya,” katanya.

Ahmad Fakhrurazi merupakan anak kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Datuk Shafie Abdul Rahman dan juga abang kepada bekas Ketua Puteri UMNO Terengganu, Nordiana Shafie.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Azlimin Mat Noor berkata, dua buah jentera bersama 18 anggota bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pukul 8.45 pagi.

Beliau berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah berhampiran.