Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, mangsa, Zaim Khalis Kasnon, 35, maut di tempat kejadian akibat mengalami sesak nafas setelah dibelit ular sawa batik berukuran 3.5 meter panjang itu.



Menurut abang ipar mangsa, Mohd. Noor Radiman, 54, mang­sa tidak pernah berkongsi cerita mengenai minatnya menangkap haiwan tersebut.

Bagaimanapun, katanya, pada hari kejadian, mangsa yang baharu pulang daripada minum di sebuah gerai pulang ke rumah untuk mengambil sarung tangan dan besi sebelum memaklumkan kepada kakaknya yang terjaga daripada tidur ketika itu.

“Kami sangat terkejut apabila dimaklumkan orang kampung bahawa Zaim Khalis maut akibat dibelit ular sawa. Malah, kami juga tidak tahu sama ada dia pakar atau tidak dalam menangkap haiwan tersebut, tetapi orang kampung memberitahu pernah melihatnya menangkap ular beberapa kali.

“Tiada saksi di tempat kejadian. Namun, kami percaya dia (Zaim Khalis) mahu membawa ular tersebut pulang ke rumah tetapi mungkin ular menggigit jarinya sebelum melilit leher­nya,” kata Mohd. Noor ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Banting, di sini hari ini.

Terdahulu, Zaim Khalis dimandikan serta dikafankan di Hospital Banting selepas jena­zahnya selesai melalui proses bedah siasat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jenjarom, di sini kira-kira pukul 3 petang ini.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Superintenden Azizan Tukiman berkata, siasatan mendapati mangsa pulang ke rumah dari Pekan Sungai Jarom untuk mengambil sarung tangan dan sabit kecil.

Katanya, mangsa memaklumkan kakaknya hendak menangkap ular yang ditemukan di tepi jalan semasa balik dari pekan.

“Hasil keterangan daripada orang awam mengatakan bahawa mangsa telah dibelit oleh seekor ular sawa, bagaimanapun gagal membantunya kerana telah me­ninggal dunia.

“Malah, ular terbabit juga dibunuh penduduk kampung yang datang membantunya dan percaya mangsa menangkap ular itu untuk dijual,” ujarnya.

Tambah beliau, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.