Namun pada 7 April lalu, Hamidah Tumin,51, sekeluarga diuji sekali lagi dengan musibah anak lelaki keduanya kini terlantar di hospital selepas menjadi mangsa langgar lari sebuah van yang melanggar lampu isyarat.

Muhammad Shahreza Ramli, 19, dikatakan menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumah di Sungai Way, Petaling Jaya, selepas mengambil kakaknya, Intan Shahira Ramli, 25, yang bekerja di sebuah pusat membeli-belah di Kelana Jaya pulang pada pukul 11.00 malam.

Akibat kemalangan itu, menurut Hamidah, Muhammad Shahreza kini berada dalam keadaan separuh sedar kerana mengalami kecederaan parah di kepala.

Hamidah diberitahu doktor, anaknya berisiko hilang penglihatan selepas mengalami kecederaan pada bahagian tengkorak.

“Doktor memberitahu, anak saya berisiko tak boleh melihat selepas sedar sepenuhnya.

“Hati saya hancur, apabila doktor menunjukkan bahagian-bahagian pada tengkoraknya yang patah seperti tulang soket tepi dan bahagaian bawah kedua-dua mata, pipi kiri dan rahang.

“Selain itu, saya turut diberitahu tangan kirinya patah dan terpaksa dibedah,” katanya ketika wartawan Utusan Online melawat anaknya yang kini sedang dirawat di unit rawatan rapi dekat sebuah hospital di Kuala Lumpur.

 

Mangsa pemandu langgar lampu merah

Kemalangan dilanggar lari
ROSAK teruk, keadaan motosikal ditunggang Muhammad Shahreza bersama kakaknya Intan Shahira dilanggar lari oleh pemandu van yang turut melanggar lampu isyarat ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Sungai Way, Petaling Jaya. - UTUSAN ONLINE

Sementara itu, menurut Intan Shahira, sebelum kemalangan berlaku dia bersama adiknya membonceng sebuah motosikal Yamaha model 125Z melepasi simpang berhampiran tempat kerjanya selepas lampu isyarat dekat laluannya bertukar hijau.

“Adik saya berhenti ketika lampu isyarat merah dekat simpang berhampiran dengan tempat kerja saya.

“Sebaik sahaja lampu hijau menyala, adik saya terus bergerak. Namun terdapat sebuah van jenis Toyota berwarna putih dipandu laju melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh kami berdua.

“Saya sangat yakin lampu isyarat merah dekat laluan van itu menyala. Malah sebelum kami bergerak pun lampu isyarat laluannya masih merah,” jelasnya.

Tambahnya lagi, dia tidak sempat berbuat apa-apa untuk memastikan adiknya dapat mengelak van yang melanggar lampu isyarat itu.

“Saya tidak sempat berbuat apa-apa selain berteriak ‘Reza!’ sewaktu van putih itu berada begitu hampir sebelum merempuh kami.

“Kemudian tidak ingat apa berlaku, ketika sedar saya sudah terbaring atas jalan raya dan bangun pergi ke arah Reza yang sudah tidak sedarkan diri sambil darah mencurah keluar dari mulutnya.

“Van yang melanggar kami tidak kelihatan. Orang ramai melihat kejadian yang membantu memberitahu kami dilanggar lari,” ujarnya yang mengalami kecederaan lebam di pipi dan mata kiri.

 

Ibu pesan beli makanan

Kemalangan dilanggar lari
MUHAMMAD SHAHREZA kini terlantar di unit rawatan rapi sebuah hospital di Kuala Lumpur akibat kerakusan seorang pengguna jalan raya yang tidak menghiraukan keselamatan orang lain. - UTUSAN ONLINE

Sebelum kejadian, Hamidah berpesan kepada anaknya untuk beli makanan kerana dia menghadiri kenduri di rumah jirannya dan tidak semmpat masak.

Walau bagaimanapun, anak ketiga daripada enam beradik itu yang baharu pulang dari tempat kerja berhampiran Kampung Datuk Harun, Petaling Jaya memberitahu bahawa dia masih kenyang.

“Tetapi saya hulur juga RM50 dan memintanya belikan makanan untuk kakaknya sekali sebelum pulang ke rumah. Dia tidak membantah,” katanya.

Tambah Hamidah lagi, anak lelaki keduanya itu mula menunjukkan kelakuan pelik beberapa hari sebelum dia kemalangan bersama Intan Shahira.

“Dia pernah memberitahu abahnya bahawa dia pernah bermimpi bertemu dengan arwah abangnya yang meninggal pada 27 November 2016 juga akibat dilanggar lari.

“Reza beritahu, dalam mimpi itu arwah abang mengajaknya pergi ke masjid untuk solat bersama. Usai solat, mereka berbual. Reza pernah beritahu saya dia sangat rindu arwah abangnya.

“Arwah abangnya meninggal ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Shah Alam. Dia terjatuh dekat Lebuh Raya Persekutuan berhampiran Plaza Tol Batu 3 ketika menunggang motosikal sebelum dilanggar lari.

“Makcik tak sanggup hilang anak lagi. Reza sanggup korbankan cita-cita hendak jadi askar untuk bantu kakaknya sara keluarga kerana abahnya tidak lagi dapat bekerja akibat masalah kesihatan,” luahnya tidak dapat menahan air mata.

 

Rayu bantuan guaman

Kemalangan dilanggar lari
PAPARAN imej x-ray menunjukkan Muhammad Shahreza mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala. - UTUSAN ONLINE

Baharu pun setahun kehilangan anak lelaki sulong akibat dilanggar lari, Hamidah akui tidak tertanggung lagi dugaan apabila anak lelaki keduanya kemalangan akibat kejadian yang sama.

Ibu kepada enam orang anak itu berhasrat supaya orang yang melanggar anaknya dihadapkan ke muka pengadilan.

Tetapi apakan daya, Hamidah akur, tidak mampu untuk mendapatkan peguam bagi menuntut keadilan dan mencari orang yang menyebabkan anaknya terlantar di hospital.

“Saya tidak mampu untuk melantik peguam bagi pihak anak. Tetapi jika ada peguam yang sudi membantu saya amat bersyukur.

“Saya tidak mahu pesalah terlepas begitu sahaja, anak saya jadi mangsa kerakusan mereka atas jalan raya.

“Seolah-olah kami sekeluarga yang kena tanggung kesilapannya melanggar lampu merah,” luahnya.

Hamidah Tumin kini berulang setiap hari ke hospital untuk menemani anaknya yang masih belum sedarkan diri.

Jika orang ramai ingin menghulurkan bantuan dan meringankan beban, sumbangan boleh diberikan melalui akaun CIMB 7011062279 atas nama Intan Shahira Ramli. - UTUSAN ONLINE