Mudir Pondok Beta Hilir, Mohd. Jalaludin Asayuti Moha­med, 49, berkata, ini kerana pendawaian kediaman berstruktur kayu itu sudah agak lama iaitu ketika Pondok Beta Hilir mula-mula beroperasi 37 tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, seta­kat ini punca sebenar kebaka­ran masih dalam siasatan dan pihaknya menganggarkan jumlah kerugian dialami mencecah RM30,000.

“Selepas Pondok Beta Hilir dibuka secara rasmi pada 1980 ini kali pertama kebakaran berlaku. Kami ada membuat pemeriksaan berkala bagi memastikan kese­lamatan bangunan dihuni, namun kebakaran masih berlaku.

“Buat sementara waktu, kesemua 24 penghuni terjejas yang berusia 13 tahun hingga 60 tahun akan ditempatkan di asrama yang terletak dalam kawasan penga­jian,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Mohd. Jalaludin Asayuti dalam pada itu bersyukur kerana tiada penghuni yang mengalami kece­de­raan dalam kebakaran ini meskipun hampir keseluruhan pakaian dan kitab pengajian milik pelajar hangus terbakar.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Dr. Nik Azlan Nik Abd. Hadi hari ini meninjau lokasi kebakaran dan menyerahkan sumbangan Maik sebanyak RM54,000 kepada pengurusan Pondok Beta Hilir.

Ujarnya, Maik akan memantau semua sekolah pondok serta tahfiz di Kelantan supaya mengikuti piawaian yang ditetapkan terutama berkaitan keselamatan bangunan bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.

Orang ramai yang ingin me­nyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian kepada akaun Bank Muamalat 03010002364711 atau Bank Simpanan Nasional 0355042000016161 di atas nama Madrasah Muhammadiah Pondok Beta Hilir.