Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM) negeri, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah bergegas ke lokasi kejadian bersama sembilan anggota setelah menerima maklumat kemalangan pada pukul 3.46 petang.

Katanya, pihak bomba juga dibantu dua jentolak di lokasi bagi mengalihkan treler untuk kerja-kerja mengeluarkan mangsa.

"Mangsa pertama, kanak-kanak lelaki berusia lingkungan empat tahun berjaya dikeluarkan pada pukul 4.50 petang, diikuti lelaki dewasa di bahagian tempat duduk hadapan (5.14 petang), kanak-kanak perempuan sekitar 12 tahun (5.32 petang), perempuan dewasa (5.40 petang) dan mangsa terakhir iaitu perempuan dewasa lima minit kemudian.

"Kesemua mangsa telah meninggal dunia iaitu melibatkan seorang lelaki dan dua wanita dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan," katanya dalam kenyataan di sini sebentar tadi.

Tambahnya, mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak ambulans dan diserahkan kepada polis

"Identiti mangsa yang meninggal belum dapat dipastikan.

"Kesan daripada kemalangan itu juga menyebabkan kenderaan lain iaitu sebuah pacuan empat roda (4x4) dan kereta jenis Proton Saga terlibat dengan kemalangan namun tiada melibatkan mangsa cedera parah," ujarnya. - UTUSAN ONLINE