Mangsa, Chan Kwai Wah, 57, yang tinggal seorang diri di rumah tersebut dijumpai terbaring di ruang belakang rumah oleh pasukan bomba dan penyelamat.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Mohamad Yunus Abu berkata, sepasukan anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh dan Pasir Puteh dihantar ke tempat kejadian setelah dimaklumkan pada pukul 11.12 malam.

Katanya, kerja-kerja pemadaman kebakaran itu juga turut dibantu tiga pasukan sukarela kawasan berhampiran.

“Semasa operasi dijalankan, mangsa yang merupakan OKU dan mempunyai kecederaan di bahagian kaki dijumpai terbaring di bahagian belakang rumahnya.

“Lelaki itu yang dikatakan bergerak menggunakan tangan dipercayai cuba menyelamatkan diri berdasarkan kedudukannya yang berada di pintu belakang rumah semasa dijumpai. Mangsa tinggal menyewa seorang diri di rumah tersebut,” katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran semalam.

Menurut beliau, kebakaran itu menyebabkan kemusnahan sebanyak 40 peratus rumah mangsa yang bersambung dengan rumah pemilik di bahagian hadapan.

“Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran tersebut. Operasi ditamatkan pada pukul 1.21 pagi dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.- UTUSAN ONLINE