Video oleh MOHD. ZUHARMAN MOHAMAD NOR

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi, mangsa, Che Mohamad Putra Che Hisham, 26, memandu kereta jenis Perodua Myvi berseorangan sebelum terbabas dan melanggar penghadang jalan.

Mangsa yang cedera sempat dikeluarkan orang ramai dari kereta sebelum kenderaan itu dijilat api.

Menurut seorang saksi, Hanifa Ismail, 35 berkata, kereta yang dinaiki mangsa dipercayai dipandu laju sebelum merempuh penghadang jalan.

"Saya ketika itu dalam perjalanan ke tempat kerja dari rumah di Pasir Pekan ke bandar Kota Bharu, sebaik tiba di tempat kejadian saya melihat sebuah kereta Perodua Mywi terbabas lalu terbakar.

"Saya terus memberhentikan kenderaan, dan beberapa pengguna jalan raya lain juga turut berhenti apabila melihat kejadian itu dan cuba membantu mangsa yang terperangkap dalam kereta," katanya.

Susulan kejadian itu, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu diketuai Ismadi Mohamad Taib bergegas ke lokasi untuk memadamkan kebakaran.

Mangsa cedera di kaki dan muka telah dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) bagi menerima rawatan lanjut. - UTUSAN ONLINE