Kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 9 pagi itu tidak melibatkan kecederaan atau kemalangan jiwa.

Menurut salah seorang mangsa, Mut Lian, 58, dia tiada di rumah ketika kebakaran berlaku namun bergegas pulang dari tempat kerja setelah mendapat panggilan daripada jiran terdekat.

“Saya dan isteri pergi kerja seawal 7 pagi dan tiba-tiba jiran menelefon pada pukul 9 pagi memberitahu rumah kami terbakar, memang saya terkejut dan terus pulang,” katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran di sini hari ini.

Pemilik rumah sewa berkenaan, Jantan Razak, 72, turut terkejut dengan kebakaran yang menimpa rumah peninggalan neneknya.

“Ini adalah kebakaran yang pertama kali berlaku, saya menerima panggilan daripada penduduk setempat kira-kira pukul 10 pagi tadi dan terus bertolak daripada rumah saya di Jalan Ipoh,” ujarnya.

Jelasnya, premis yang terbakar sebenarnya melibatkan tujuh buah rumah namun telah dibahagikan kepada 15 pintu.

Sementara itu, Menteri Kewangan Kedua yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kesemua mangsa akan ditempatkan sementara di kediaman Program Perumahan Rendah (PPR) yang akan ditetapkan.

Ujar beliau, kebakaran difahamkan bermula dari sebuah rumah sebelum api kemudian­nya merebak ke 14 lagi rumah yang terletak berdekatan antara satu sama lain.

“Saya nasihatkan penyewa rumah agar tidak membuat sebarang penyambungaan wa­­yar elektrik tanpa pengetahuan pihak Tenaga Nasional Berhad,” katanya.