Timbalan Perdana Menteri ber­kata, koordinasi pelbagai pihak termasuk peringkat kementerian, jabatan atau agensi berkaitan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan sukarela dan masyarakat dalam mendepani masa kritikal akibat bencana.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Ben­cana negara memberitahu, ber­tepatan dengan pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Bencana Nasional di sini hari ini, ia diharap memberi kesedaran kepada semua pihak mengenai betapa pentingnya persiapan seumpama itu dijadikan satu budaya dalam kehidupan.

“Kita lakukan usaha ini (kesiapsiagaan) menjadi satu budaya, ertinya kita harus mendarah dagingkan mereka yang sering jadi mangsa banjir atau bencana lain.

“Ini supaya kita tahu apabila ada maklumat dalam media secara automatik menjadi budaya agar keluarga yang menjadi mang­sa banjir cepat berpindah,” katanya.

Beliau berkata demikian da­lam sidang akhbar selepas me­nyempurnakan majlis pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Bencana Nasional 2016 di Kemaman Waterfront di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang juga Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Karim.

Hadir sama, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari; Exco Kerajaan negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang yang mewakili Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman.

Timbalan Perdana Menteri berkata, selain pelbagai jabatan, agensi serta NGO berkenaan, penyelarasan kesiapsiagaan menghadapi sebarang bencana juga perlu membabitkan pertubuhan politik untuk sama-sama membantu mangsa bencana dengan lebih efektif.

Menurut Ahmad Zahid, sekiranya amalan kebersamaan itu dipraktik dan diteruskan, ia dapat membantu mengurangkan risiko bagi mereka yang ditimpa musibah itu.

Beliau juga menarik perhatian, pada masa ini kerajaan sudah bersiap sedia sepenuhnya dalam menghadapi kemungkinan berlaku bencana khususnya banjir di seluruh negara.

“Kita sudah siap sedia 100 peratus bagi menghadapi banjir dengan fokus diberi kepada negeri-negeri yang teruk dilanda banjir,” ujarnya sambil menambah bahawa kerajaan mempunyai peruntukan yang cukup untuk pembelian aset pengurusan bencana.

Beliau bagaimanapun me­ngakui, pada masa ini terdapat segelintir masyarakat khususnya yang sering terlibat dengan banjir masih kurang kesedaran dalam memberi kerjasama kepada kerajaan bagi menghadapi bencana itu.