Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Khairul Azuwan Ibrahim berkata, proses membawa turun kesemua mangsa sejauh enam kilometer itu bermula pada pukul 10 malam dan berakhir dengan baik.

Menurut beliau, tiada sebarang kecederaan dialami oleh kesemua mereka kecuali dua pendaki wanita yang perlu diangkat kerana mengalami kepenatan melampau dan sakit lutut.

“Ada beberapa mangsa perempuan yang agak kepenatan, namun anggota keselamatan yang antaranya terdiri daripada bomba serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memberikan segala bantuan yang perlu sehingga mereka selamat.

“Kumpulan pertama pendaki yang selamat tiba di Timpohon Gate adalah pada pukul 2.10 pagi dan yang terakhir adalah pada 4.38 pagi. Alhamdulillah semua selamat,” katanya ketika ditemui Timpohon Gate pagi ini.

Menurut Khairul Azuwan, sebanyak 24 anggota bomba termasuk 15 daripada Pasukan Khas Taktikal Operasi Menyelamat Malaysia (Storm) dihantar menjalankan misi menyelamat dan turut dibantu APM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), pasukan bantuan mencari dan menyelamat di Gunung (MOSAR), malim gunung serta Jabatan Kesihatan.

Pada pukul 9.06 malam tadi, gempa bumi berukuran 5.2 skala Ritcher yang berpusat di Ranau berlaku pada kedalaman lima kilometer dalam tanah.

Gegaran yang berlaku kira-kira 10 saat akibat insiden tersebut menyebabkan pihak pengurusan gunung, Taman Kinabalu membatalkan semua aktiviti pendakian ke puncak hari ini. - UTUSAN ONLINE