Subahan Seni berkata, dia telah berjanji untuk membelikan alat permainan itu kepada anaknya, Muhammad Saifuddin Ali menerusi online selepas acap kali diminta mangsa.

Lebih memilukan, Subahan juga tidak dapat melupakan senyuman terakhir anak ketiga daripada empat beradik itu pagi tadi ketika dia berikan RM2 kepada mangsa sebelum dia keluar bermain bersama-sama abang dan rakannya yang lain.

Menceritakan lebih lanjut kejadian tengah hari tadi, Subahan berkata, dia sedang menjaga anak bongsunya yang baru berusia sebulan di rumah sebelum dikejutkan dengan jeritan isterinya yang memberitahu anak mereka terbakar.

“Pada mulanya saya ingatkan terbakar biasa sahaja tetapi selepas bergegas ke lokasi kejadian, saya terperanjat melihat api yang membakar kontena itu terlalu marak.

“Sewaktu bersama-sama penduduk setempat memadamkan kebakaran itu, saya turut menjerit memanggil namanya, tetapi apabila tiada sahutan, saya tahu dia sudah tiada,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Subahan, kehilangan anaknya itu sangat dirasai kerana mangsa sangat rapat dan sering bergurau dengannya berbanding dua lagi abangnya yang lain.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supritendan A. Anbalagan berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kanak-kanak berkenaan sedang bermain dengan pemetik api di dalam kontena berkenaan sebelum kejadian.

Katanya, perkara itu dimaklumkan seorang saksi yang berada di lokasi kejadian yang turut terbakar di bahagian tepi rambut.

“Terdapat sofa di dalam kontena itu yang sering digunakan penduduk setempat untuk berehat dan mangsa yang rentung ditemukan dalam keadaan terduduk di bahagian dalam tepi kontena,” katanya.

Menurut beliau, unit forensik Pasukan Bomba dan Penyelamat negeri ketika ini masih menjalankan siasatan berhubung punca sebenar kejadian.

“Siasatan setakat ini tidak menemukan sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. - UTUSAN ONLINE