Video oleh AZMAN ASMAYATIM

Menterinya, Datuk Seri Hi­shammuddin Tun Hussein berkata, beliau juga telah membuat tinjauan udara di beberapa kawasan terjejas untuk melihat sendiri kesan kemusnahan selain berjumpa mangsa bagi menilai bantuan pasca banjir itu.

Dalam masa sama katanya, beliau telah meminta Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim dan Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD)menggerakkan segala aset yang ada untuk mempermudahkan bantuan kepada rakyat yang terjejas.

“Berdasarkan pemantauan, keadaan semakin reda dan jika hujan berhenti kita akan memfokuskan kepada bantuan pasca banjir seperti menyediakan water jet untuk membantu penduduk membersihkan kawasan rumah mereka.

“Kita bergantung kepada anggota yang telah digerakkan ke pelbagai kawasan di negeri ini sejak pukul 1.30 pagi semalam dan mereka mengetahui tindakan yang perlu dilaksanakan,” katanya kepada pemberita ketika melawat Flat Taman Penang Free School di sini hari ini.

Dalam lawatan itu, beliau turut menyertai anggota keselamatan menyampaikan peralatan asas seperti selimut, tilam, beg tidur, lampin bayi, beras dan air mineral kepada penduduk perumahan berkenaan yang terjejas akibat banjir.

Yang turut hadir Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Hishammuddin turut melawat Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD) di Kem Sungai Ara dan Markas 2 Divisyen, Kem Tun Razak di sini bagi bertemu anggota tentera di situ.