Kejadian kira-kira pukul 7.45 malam itu berlaku ketika kesemua pelajar sedang membaca Yassin sejurus selesai solat Maghrib berjemaah di masjid yang terletak bersebelahan pondok-pondok berkenaan.

Tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.

Pegawai Pengurusan Pondok Beta Hilir, Muhammad Hanif Muhammad Razali berkata, pondok pengajian itu dihuni kira-kira 186 pelajar berasal dari seluruh negara manakala 14 unit pondok yang musnah pula didiami 24 pelajar

"Ketika kejadian saya sedang mengetuai bacaan Yassin di tingkat satu masjid. Salah seorang pelajar yang duduk di saf paling kanan ternampak api dan segera memberitahu yang lain.

"Kami bergegas turun dan mengalihkan tong gas bagi mengelak keadaan lebih buruk selain cuba menyelamatkan kita-kitab pengajian. Selepas menghubungi pihak bomba, saya turut melaung azan," katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Sementara itu, Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri, Husin Ab. Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam pada pukul 7.50 malam dan tiba di lokasi 10 minit kemudian.

"Sebanyak empat jentera dengan kekuatan 29 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Tumboh, Kota Darul Naim serta Tunjong terlibat dalam operasi memadam kebakaran.

"Ketika tiba, kira-kira 60 peratus pondok-pondok yang berstruktur kayu sudah terbakar. Kebakaran dapat dikawal pada pukul 8.27 malam. Kita masih menyiasat jumlah kerugian serta punca kejadian," katanya. - UTUSAN ONLINE