AININ SYUHADAH SYAHRUL NIZAM yang menerima beberapa jahitan di belakang kepala dan telinga kanan sel
AININ SYUHADAH SYAHRUL NIZAM yang menerima beberapa jahitan di belakang kepala dan telinga kanan selepas digigit anjing kini dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat, Johor, semalam. – UTUSAN/MUHAMAD AIMY AHMAD

Menceritakan kejadian itu, Noor Fazilah Ishak, 30, berkata, dia bersama-sama anak­nya, Ainin Syuhadah Syahrul Nizam, 2, dan seorang lagi anaknya, Ainul Safiya, 4, membonceng motosikal ditunggang adik lelakinya.

Katanya, mereka dalam perjalanan pulang ke rumah yang disewa di situ sebelum motosikal yang dinaiki gagal dikawal ketika cuba mengelak sebuah lori yang sedang memunggah barang.

“Kami dalam perjalanan pulang dari hospital kerana ziarah seorang lagi adik saya, ketika kejadian saya memeluk Ainin Syuhadah dan terjatuh ke dalam longkang, manakala adik saya dan Ainul Safiya jatuh di bahagian kaki lima premis itu.

“Secara tiba-tiba, anjing yang diikat di situ menerkam kami kerana mungkin kerana terkejut terdengar bunyi rempuhan motosikal ke pintu kedai dan terus menggigit kepala Ainin Syuhadah,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini hari ini.

Ujar Noor Fazilah, anaknya meraung sekuat hati ketika anjing itu menggigit bahagian belakang kepala termasuk telinga kanan sehingga darah mengalir dengan banyak.

“Orang ramai membantu melepaskan gigitan anjing itu sebelum anak dibawa ke hospital dan menerima beberapa jahitan di kepala serta telinga,” katanya.

Sementara itu, Noor Fazilah turut berharap pengguna media sosial tidak membuat andaian sendiri berhubung video tersebut yang tular dalam Facebook termasuk menuduh adiknya mengambil bahan terlarang.

“Saya kesal apabila membaca komen-komen dalam media sosial termasuk menyatakan pemilik anjing tersebut tidak bertanggungjawab, walhal mereka memberi kerjasama baik termasuk melawat anak di hospital semalam.

“Kami juga sudah membuat laporan polis serta merujuk kepada Jabatan Veterinar berkaitan haiwan itu dan tidak mahu isu ini terus diperbesarkan sedangkan ia boleh di­selesaikan dengan baik,” katanya.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan meminta pihak berkuasa tempatan memantau haiwan-haiwan tersebut di kawasan premis perniagaan serta perumahan.