Kenderaan yang membawa jenazah Allahyarham bertolak keluar pada kira-kira pukul 9.30 malam.

Sebelum itu, kelihatan hadir di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Putrajaya di sini adalah Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad, ahli keluarga dan kenalan-kenalan Allahyarham.

Allahyarham yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri Selangor meninggal dunia pada kira-kira pukul 6.28 petang hari ini ketika menerima rawatan di Hospital Putrajaya.

Difahamkan, Allahyarham telah menjalani rawatan di Hospital Putrajaya sejak Selasa lalu.

Sebelum ini, Allahyarham yang berusia 56 tahun dikatakan tenat kerana menghidap kanser usus tahap empat tetapi perkara berkenaan telah dinafikan keluarga Allahyarham.

Dalam pada itu, Setiausaha Kanan kepada Shaharuddin, Zafrullah Aris ketika ditemui pemberita berkata, jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke rumahnya di Desa Pinggiran Putra malam ini selepas selesai dikafankan dan dimandikan di Hospital Putrajaya.

“Dijangka pukul 9 pagi esok jenazah akan di bawa ke Masjid Kampung Limau Manis, Sungai Merab dan dikebumikan esok di Tanah Perkuburan Kampung Limau Manis,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lalu, Shaharuddin memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Seri Setia dengan majoriti 19,372 undi dalam pertandingan empat penjuru menewaskan tiga pencabarnya daripada Barisan Nasional (BN), PAS dan Bebas. - UTUSAN ONLINE