Video oleh AIN SAFRE BIDIN

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 semalam, S. Krishnan, 64, dan cucu lelakinya, S. Ugeendrann, 11, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Laluan di situ disifatkan berbahaya kepada pengguna terutama pejalan kaki kerana aliran trafik sama ada menuju Kampung Gajah atau ke bandar Teluk Intan sentiasa sibuk.

Bilangan kenderaan semakin bertambah ekoran Jambatan Sultan Yusof yang menghubungkan Teluk Intan ke Lumut ditutup sejak Ogos lalu untuk kerja baik pulih tiang jambatan tersebut.

Tinjauan mendapati, kenderaan yang melalui Jalan Kampung Bahagia juga dipandu laju khusunya kenderaan dari Teluk Intan selepas menuruni Jambatan Kereta Api.

Difahamkan, dalam tempoh seminggu, berlaku dua atau tiga kemalangan yang melibatkan kenderaan namun kemalangan semalam pertama kali melibatkan pejalan kaki.

Menurut anak saudara Krishnan, S. Navarethan, 36, berkata, kemalangan yang menimpa kedua-dua mangsa disebabkan kenderaan yang melanggar mereka dipandu laju.

Katanya, mangsa dirempuh ketika mereka berada di tepi jalan untuk melintas ketika mahu membeli burger di kedai di seberang jalan.

"Laluan ini sememangnya sentiasa sibuk dan kenderaan dipandu laju. Apatah lagi kawasan ini agak gelap kerana tiada lampu jalan," katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Sehubungan itu, Navarethan meminta pihak berkenaan memasang lampu jalan untuk mencerahkan kawasan di laluan berkenaan.

"Pokok yang terdapat di tepi jalan juga perlu ditebang supaya tidak mengganggu penglihatan pemandu," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superintenden Yahaya Hasan mengesahkan kejadian tersebut.

Menurutnya, pemandu Toyota Hilux yang terlibat ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. - UTUSAN ONLINE