Allahyarham Jaafary Jaafar
Allahyarham Jaafary Jaafar

Mangsa, Jaafary Jaafar, 48, yang berasal dari Johor, maut di tempat kejadian manakala isterinya yang menjadi pembonceng, cedera parah.

Allahyarham Jaafary ketika itu bersama-sama konvoi 10 rakyat Malaysia dengan lima motosikal berkuasa tinggi dalam perjalanan pulang ke Malaysia selepas bercuti di Thailand.

Pegawai siasatan Balai Polis Hatyai, Kapten Thirathat Thammarat berkata, kejadian pada pukul 9.30 pagi (waktu tempatan) di Jalan Khancanawanit itu mengorbankan Jaafary selepas motosikalnya merempuh sebuah motosikal dinaiki warga Thailand yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah.

Beliau berkata, penunggang motosikal warga Thailand itu mengalami kecederaan parah dan akan disiasat polis apabila keadaan kesihatannya mengizinkan.

Jenazah Allahyarham Jaafary selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cahaya Masai, Johor pukul 9.45 pagi tadi selepas tiba di Bukit Kayu Hitam, Kedah 8 malam semalam dan seterusnya dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk dimandi dan dikafankan.

Jaafary Jaafar
Johari Osman - Ihsan careta.my

Seorang rakyat Malaysia di Thailand, Johari Osman yang dipetik portal permotoran, Careta.my sebagai berkata, beliau dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan dan terus bergegas ke Hatyai dari Satun.

"Ini kerana, saya merasai mangsa perlu dibantu kerana proses dokumentasi dan membawa jenazah kembali ke Malaysia amat sukar dan memakan masa yang agak lama jika tiada komunikasi yang baik.

"Saya mengajak isteri yang merupakan pemandu pelancong berlesen warga Thailand untuk membantu mangsa dan akhirnya kami bersama-sama petugas dari Konsulat Malaysia di Songkhla berjaya menyelesaikannya dalam tempoh dua hari," katanya.

Menurut Johari atau lebih mesra dengan panggilan Cikgu Jo berkata, rakyat Malaysia yang sering menjadikan Thailand sebagai destinasi percutian perlu mendapatkan insurans perjalanan yang sah.

Insurans itu kata Cikgu Jo sedikit sebanyak dapat mengurangkan kos pembayaran yang terpaksa ditanggung mangsa jika kemalangan melibatkan nyawa dan penghospitalan.

"Selain itu, kita juga perlu tahu prosedur membawa pulang jenazah dari sebuah negara asing dan keluarga mangsa juga harus peka dan tidak terlalu memaksa dalam menyegerakan proses kerana konsulat Malaysia hanya boleh membantu dan mereka sendiri perlu mengikut perundangan negara tersebut.

“Kita tidak boleh mencampuri urusan kerajaan negara mereka kerana itu cara mereka. Perlu hormat kerana kita berada di negara orang,” katanya.

Cikgu Jo yang merupakan guru sukarela yang mengajar Bahasa Melayu di Satun, Thailand turut menegaskan, semua urusan kemalangan sama ada melibatkan nyawa atau tidak di Thailand memerlukan wang dan mangsa perlu bersedia.

Dalam pada itu, pengembara bermotosikal tegar negara, Azman Baharuddin berkata, pengembara bermotosikal di Thailand perlu sentiasa berwaspada dan berhati-hati.

"Penunggang motosikal negara itu sering keluar dari simpang jalan tanpa melihat laluan aliran kenderaan.

"Malah, ketika di lampu isyarat, penunggang motosikal Thailand sering bergerak lebih awal daripada lampu isyarat bertukar ke hijau dan untuk itu, pengembara bermotosikal perlu lebih berhati-hati ketika melalui persimpangan sama ada yang mempunyai lampu isyarat atau tidak," katanya.

Warga Malaysia boleh menghubungi Konsulat Malaysia di Songkhla di talian 07-4311062 atau 07-4316274 dan emel: [email protected] atau Kedutaan Malaysia di Bangkok di talian 02-6296800. - UTUSAN ONLINE