SOIMAN JAHID

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Soiman Jahid (gambar) berkata, hanya sebahagian fail di tingkat enam sahaja yang terbakar namun sudah disahkan sebagai fail-fail tidak penting.

“Kebakaran membabitkan lima peratus bangunan iaitu bahagian luar tingkat satu hingga tingkat enam manakala bahagian dalam pula cuma dimasuki asap sahaja,” katanya dalam sidang akhbar selepas selesai kerja pemadaman api dilakukan.



Menurut Soiman, siasatan awal mendapati kebakaran yang bermula pada kira-kira pukul 11 pagi itu berpunca daripada percikan api proses kimpalan di bahagian panel tingkap yang dilakukan di luar tingkat satu bangunan.

Ujarnya, percikan api itu telah terkena lapisan luar bangunan (cladding) yang mudah terbakar dan faktor angin serta kepanasan cuaca telah memarakkan lagi kebakaran.

“Sebanyak 70 anggota dan pegawai bomba telah dikerah untuk kerja pemadaman yang selesai dalam masa 30 minit. Tiada mangsa terperangkap dan seba­nyak 527 pekerja serta pelanggan yang berada di dalam bangunan ketika kebakaran telah keluar dengan selamat,” ujarnya.

Soiman menasihatkan mana-mana syarikat untuk menghubungi bomba bagi melakukan semakan ‘cladding’ sama ada selamat digunakan atau tidak.

Sementara itu, Timbalan Ke­tua Pegawai Eksekutif (Operasi) KWSP, Datuk Mohd. Naim Daruwish berkata, semakan sudah dilakukan dan insiden yang berlaku tidak melibatkan data ahli.

Jelasnya, ahli tidak perlu risau kerana ibu pejabat KWSP di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur mempunyai semua data ahli sekiranya berlaku apa-apa di bahagian cawangan KWSP.

“Kita akan pastikan proses pemulihan bangunan dijalankan secepat mungkin dan kakita­ngan akan ditempatkan sementara di cawangan. Kebakaran ini juga tidak mengganggu proses transaksi dan urusan ahli-ahli,” jelasnya.

Dalam pada itu, seorang daripada mangsa hanya mahu dikenali sebagai Riduan, 29 berkata, dia berada di tingkat empat dan mendengar bunyi letupan sebelum bergegas turun.

“Ketika itu, saya mahu me­ngalihkan kenderaan yang berada di tepi bangunan tetapi tidak dibenarkan,” katanya sambil memberitahu bahawa keretanya mengalami kerosakan di bahagian tepi dan depan akibat kebakaran itu,” katanya.