Video oleh ROSALINDA MD. SAID

Namun menurut Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Mohd. Shuhaimi Ali, sehingga petang ini pihaknya belum menemukan sebarang bukti yang boleh dikaitkan dengan kejadian itu dan juga mangsa yang terbabit.

"Pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi mengesan mangsa termasuk melakukan pemeriksaan bersama kelab luncur udara untuk mendapatkan maklumat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi pencarian.

Sebanyak 45 anggota pasukan penyelamat dari pelbagai agensi termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam terbabit dalam operasi itu.

Sehubungan itu beliau turut meminta orang ramai yang kehilangan anggota keluarga tampil membuat laporan di balai polis berhampiran sebagai usaha mengesan identiti mangsa.

Semalam, seorang pemancing yang berada berdekatan lokasi kejadian ternampak seorang paraglider terjunam ke laut kira-kira dua kilo­meter dari kawasan pantai tersebut.

Sapiee @ Hassan Tahar, 64, yang ditemui memberitahu, dia bersama seorang rakan berada di pantai berkenaan kira-kira pukul 6 petang semasa terlihat paramotor tersebut.

"Saya nampak ia terbang tetapi tak dengar bunyi enjin dan semakin rendah sebelum menjunam ke dalam laut,” ujarnya.

Sementara itu, Kelab Paramotor Terengganu mengesahkan tiada penggiat sukan ekstrem itu di negeri ini dan juga pelancong terlibat dalam sebarang aktiviti penerbangan di kawasan terbabit petang semalam.

Setiausahanya, Anuar Ngah berkata, lokasi berkenaan bukan kawasan permainan paramotor kerana kegiatan berkenaan hanya dilakukan di tiga lokasi iaitu di Batu Burok, Teluk Ketapang dan Rhu Muda Kelulut.