Video oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN

Ketika kebanyakan mereka sedang tidur nyenyak untuk mengumpul tenaga sebelum memulakan misi pada pukul 2 pagi, kesemua pendaki berkenaan sebaliknya dikejutkan dengan gegaran amat kuat pada pukul 9.06 malam yang turut menyebabkan berlaku runtuhan kecil di beberapa laluan pendakian.

Pendaki dari Perlis, Nornadia Farihah Madun Mashaid, 24, berkata, semasa kejadian, dia baru sahaja hendak tidur tetapi terpaksa bangun dalam ketakutan dan segera berkumpul di kawasan lapang bersama pendaki lain selepas merasai gegaran tersebut.

“Saya sangat takut kerana pertama kali merasakan gegaran yang sangat kuat dan berlaku di tempat tinggi menyebabkan saya risau tentang keselamatan diri.

“Selepas kira-kira 10 minit, anggota bomba yang berada di Laban Rata meminta kami mengambil barang-barang yang penting sahaja kerana perlu segera turun disebabkan gempa bumi baru berlaku,” katanya ketika ditemui di Pintu Timpohon, hari ini.

Pendaki dari Perancis, Terry Brat, 44, berkata, dia lega ke­rana selamat daripada sebarang kecelakaan selepas me­nyedari gempa bumi yang pernah berlaku di Gunung Kinabalu tiga tahun lalu me­ngorbankan banyak nyawa.

“Pihak berkuasa di sini mengutamakan keselamatan pendaki, sebab itulah kami semua diminta turun balik dan terpaksa membatalkan misi menawan puncak gunung.

“Saya agak terkilan kerana tidak dapat sampai ke puncak selepas bekerja keras untuk mendaki sepanjang hari ini tetapi gempa bumi ini juga memberi pengalaman baharu kepada saya dan paling penting, ke­selamatan saya dan keluarga terjamin,” katanya.

Pendaki dari Kuala Lumpur, Maslinah Ramli, 29, turut berkongsi pengalaman menakutkan tersebut yang tidak pernah dirasainya di tempat lain sebelum ini.

“Saya tidak sangka akan merasai pengalaman sebegini kerana tujuan saya adalah untuk menawan puncak gunung tetapi tidak tercapai kerana gempa bumi.

“Walaupun begitu, saya ber­syukur kerana pengalaman cemas merasai gegaran gempa bumi berakhir cepat dan saya ber­sama rombo­ngan selamat un­tuk meneruskan percutian di negeri ini,” ujarnya.

Sementara itu, Jabatan Taman-taman Sabah mengarahkan semua aktiviti pendakian ke puncak Gunung Kinabalu ditutup serta-merta bermula hari ini ekoran kejadian gempa bumi tersebut.

Pengurus Taman Kinabalu, Yasin Miki berkata, arahan itu dikeluarkan selepas membuat penilaian terhadap aspek keselamatan selain keadaan laluan yang dikhuatiri tidak selamat kesan gegaran tersebut.

“Semua aktiviti pendakian telah dihentikan serta-merta bermula hari ini bagi memberi laluan kepada kajian dan penelitian terhadap aspek keselamatan di sepanjang jalan pendakian dari kaki gunung ke puncak.

“Bagaimanapun setakat ini, tiada laporan kerosakan teruk berlaku di sepanjang laluan dari kaki gunung ke Laban Rata namun laluan dari Pana Laban ke puncak masih lagi dalam proses pemeriksaan lanjut,” katanya.

Terdahulu, kesemua 209 individu termasuk 130 pendaki yang berada di Laban Rata untuk mendaki puncak Gunung Kinabalu berjaya dibawa turun ke Timpohon Gate pada pukul 4.20 pagi ini dengan bantuan anggota keselamatan termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Khas Taktikal Operasi Menyelamat Malaysia (Storm) dan pasukan mencari dan menyelamat di Gunung (MOSAR).

Dalam pada itu, Yasin berkata, pihaknya akan mengerahkan sekumpulan pemantau bagi meneliti dan memeriksa keadaan laluan di sepanjang perjalanan terutamanya dari Pana Laban ke puncak Gunung Kinabalu.

“Proses ini mungkin akan memakan masa sehingga dua hari, tetapi bergantung kepada keadaan semasa dan selepas itu barulah kita boleh pastikan keadaan laluan sama ada ia selamat digunakan ataupun tidak,” katanya.