Video oleh EZZUAN AHMAD

Kebakaran kira-kira pukul 6.15 petang itu menyebabkan persekitaran kawasan terbabit diselubungi asap hitam yang tebal dan menjulang tinggi.

Menurut sumber, tangki besar yang terbakar itu mampu mengisi kira-kira 300,000 liter minyak mentah. 

Ketika kebakaran difahamkan setiap satu tangki terbabit hanya mengandungi kira-kira 40,000 liter minyak selepas kebanyakannya telah digunakan. 

Berpuluh anggota bomba bersama beberapa buah jentera daripada Balai Bomba Cukai dan Kerteh berada di kawasan kebakaran bagi memadam dan mengawal keadaan.

Kerja-kerja memadam turut dibantu pasukan dan anggota persatuan kilang-kilang di kawasan industri terbabit yang dikenali Kemaman Mutual Aid (KEMA).

Sehingga pukul 9.30 malam ini, kerja-kerja memadam dan mengawal kebakaran daripada merebak ke tangki bersebelahan sedang giat dilakukan. 

Faktor tiupan angin yang kuat menyebabkan api menjadi marak dan pencegahan dilakukan pada tangki ketiga bagi mengelakkan kebakaran merebak.

Sementara itu, Utusan Online difahamkan semasa kebakaran berlaku tiga pekerja sedang menjalankan kerja-kerja mengimpal di tangki berkenaan.

Menurut sumber, kebakaran dipercayai bermula di salah sebuah tangki tersebut sebelum api merebak ke tangki bersebelahan.

Ketiga-ketiga mereka difahamkan mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Kemaman namun keadaan mereka dilaporkan tidak kritikal. - UTUSAN ONLINE