Ketua Balai Bomba dan Penye­lamat Tawau, Sharudi Delamin berkata, pihaknya menerima pang­gilan mengenai kebakaran itu pada pukul 12.28 tengah hari dan empat jentera dengan 19 anggota bomba tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian.

“Api berjaya dikawal pada 1.07 tengah hari dan kerja-kerja pe­madaman sepenuhnya masih di­teruskan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Bagaimanapun tiada murid atau guru yang cedera dalam kejadian yang melibatkan sekolah yang mempunyai 139 murid, 23 guru serta tiga kakitangan bukan mengajar itu dan punca kebaka­ran masih disiasat.

Sementara itu, kejadian kebakaran tersebut turut menyebabkan ratusan murid dan guru sesi petang SK Batu 4 yang terletak bersebelahan SK Sentosa, lari me­nyelamatkan diri susulan asap tebal serta api yang marak itu.

Guru Besar SK Sentosa, Sofiah Mohd. Ali berkata, beliau sedih dengan kejadian itu meskipun sekolah tersebut akan dipindahkan ke tapak baharu di Sekolah Menengah Kebangsaan Kabota di sini pada 5 Mac ini.

“Saya bersyukur tiada perkara tidak diingini berlaku walaupun banyak barang berharga musnah termasuk alat kelengkapan komputer,” katanya lagi yang masih terkejut dengan kejadian tersebut. – BERNAMA