Video oleh NURUL NAZIHAH SUJONO

Kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu bagaimanapun tidak me­libatkan kemalangan jiwa selain masih belum beroperasi ketika kebakaran tersebut berlaku.

Difahamkan, antara kedai yang hangus 100 peratus dalam insiden itu termasuklah kedai menjual kerepek, pasu dan perhiasan seramik lain, anak patung, makanan serta pelbagai barangan lagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Hitam, Pegawai Penguasa Bomba, Othman Baher berkata, kebakaran berjaya dikawal pukul 8.10 pagi selepas 25 minit operasi pemadaman dimulakan.

“Tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Hitam dan Yong Peng bersama-sama 14 anggota bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan daripada orang awam.

“Tindakan pantas anggota mengawal kebakaran berjaya mengelak lebih banyak premis yang sederet tempat kejadian daripada turut terbakar,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini sambil memberitahu punca serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Dalam pada itu, seorang saksi, Ben Hamzah, 32, berkata, api menyambar antara satu kedai ke kedai lain dengan cepat tanpa sempat orang ramai berbuat apa-apa.

“Saya melalui lokasi kejadian ketika itu, tiba-tiba nampak kepulan asap hitam menjulang ke udara sebelum api marak membakar kedai pertama.

“Tidak lama kemudian, kedai bersebelahan mula disambar api sehingga beberapa kedai lain turut sama terbakar,” katanya.