Ketua Pengarah Pasukan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Abdul. Rashid Harun berkata, walaupun jumlah mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan banjir meningkat, namun jumlah itu dijangka berkurangan sedikit demi sedikit.

Menurutnya, jumlah mangsa banjir itu meningkat berikutan ali­ran air dari hulu ke hilir melalui kawasan rendah sebelum masuk ke dalam sungai atau laut berdekatan kawasan penempatan.

“Sekiranya cuaca baik berterusan, kita menjangkakan banjir pulih dalam masa dua ke tiga hari untuk paras air sungai kembali normal,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.



Sementara itu, di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir di negeri ini meningkat dengan 2,531 orang daripada 628 keluarga ditempatkan di 14 pusat pemindahan sementara (PPS) di Kemaman dan Dungun.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Lt. Kol (PA) Che Adam Abdul Rahman memberitahu, Kemaman mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 2,356 orang.

Keadaan itu difahamkan susulan pertembungan fenomena air pasang besar dan air hulu Sungai Kemaman yang melimpah kerana cuaca hari ini adalah baik.

Di PAHANG, jumlah penduduk yang terjejas akibat banjir di nege­ri ini menurun dengan seramai 8,074 mangsa daripada 2,225 keluarga masih ditempatkan di PPS berbanding hampir 10,000 orang semalam.

Menurut portal Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sehingga pukul 5 petang ini, sebanyak lapan PPS ditutup manakala 48 buah lagi masih beroperasi termasuk di Maran yang dibuka semula disebabkan paras air meningkat.

Sebanyak 23 buah sekolah masih ditutup membabitkan Kuantan sebanyak 15 buah, Jerantut (dua buah), Lipis (tiga buah) dan masing masing-masing sebuah Pekan, Maran serta Bera.

Di PERAK, sebanyak 15 penduduk dari empat keluarga di Taiping dipindahkan ke tiga pusat pemindahan di Dewan Orang Ramai Changkat Jering dan Matang Kerbau.

“Sebuah lagi keluarga terdiri daripada tiga orang pula ditempatkan di Surau Simpang Halt,” kata Sekretariat Pengurusan Bencana negeri di sini hari ini.

Di PULAU PINANG, banjir kilat ekoran hujan lebat sejak tengah malam tadi menenggelamkan hampir 50 kawasan di kesemua lima daerah di negeri ini awal pagi ini.

Bencana itu juga menyebabkan 25 penduduk di Mak Mandin, Seberang Perai Utara (SPU) dipindahkan ke PPS manakala di Seberang Perai Tengah pula, sebuah keluarga dipindahkan.

Di Tanjung Tokong pula, dua buah keluarga terpaksa di pindahkan selepas kediaman mereka terjejas akibat kejadian tanah runtuh, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Di SARAWAK, 202 murid di dua sekolah rendah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Long Lenei, Baram dan SK Uma Sambop, Belaga hanya sempat mengikuti sesi persekolahan selama dua hari sejak sesi persekolahan bermula minggu ini apabila sekolah mereka terpaksa ditutup akibat banjir.