Video oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB

Bagi Wan Muhammad Hazim, sekiranya masa boleh diputar semula, dia sanggup menggantikan tempat keluarganya untuk pergi dahulu daripada hidup sebatang kara tanpa insan tersayang di sisi.

“Saya rasa cukup lemah, hilang segala kekuatan dan semangat. Dalam sekelip mata saya kehilang­an seluruh ahli keluarga.

“Kalau boleh saya hendak ada semasa kejadian (kemalangan) biar saya pergi dahulu,” katanya sebak ketika ditemui selepas pengebumian ahli keluarganya di Tanah Perkuburan Islam Seberang Jelawat di sini pagi ini.

Seluruh ahli keluarga Wan Mu­­hammad Hazim terkorban dan rentung dalam kemalangan membabitkan empat buah kenderaan di Kilometer 25, Jalan Bahau-Ke­ratong, Jempol, Negeri Sembilan kelmarin, selamat di­semadikan dalam satu liang lahad di tanah perkuburan tersebut kira-kira pukul 3 pagi.

Enam ahli keluarga Wan Muhammad Hazim yang terlibat da­lam nahas itu dan ditemukan rentung ialah bapanya, Wan Mohd. Fauzi Wan Ibrahim, 51; ibunya, Masnoraida M. Yusoof, 45; abang, Wan Muhammad Muhaimin, 22; dan adik-adiknya, Wan Norathirah, 18, Wan Muhammad Amar Haziq, 13, dan Wan Noralesya, 7.

Menurut Wan Muhammad Hazim, sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini tidak memberi sebarang makna lagi kepadanya.

Dia yang menjalankan perniagaan dalam talian berkata, setiap kali hari raya sebelum ini, mereka sekeluarga akan meraikan sambutan lebaran itu di Kelantan dan detik-detik indah tersebut sentiasa bermain di fikirannya pada saat ini.

“Hari raya kali ini, tiada lagi gelak tawa bapa, ibu, adik dan abang, yang tinggal hanya pusara mereka,” katanya.

Dalam pada itu, anak kedua da­ripada empat beradik itu tekad untuk merealisasikan hasrat bapanya sebelum ini yang mahu melihat dia tinggal di Kelantan.

“Insya-Allah selepas ini saya pulang dan tinggal di rumah kami di Jelawat. Pada masa ini, saya akan menyelesaikan terlebih dahulu urusan di Kuala Lumpur,” katanya.