Banjir yang melanda beberapa kawasan di sekitar negeri ini menyebabkan ke­diaman keluarga bakal pengantin itu dinaiki air kira-kira 0.5 meter dan merosakkan se­gala persiapan termasuk pelamin dan khemah tetamu.

Bakal pengantin, Nur Sya­fiqah Hamzah, 21, berkata, dia dan pasangannya Nor Ka­marulzaman Kasim, 27, sepatutnya melangsungkan majlis pernikahan malam ini di rumah dan majlis kenduri kahwin akan berlangsung di halaman rumah termasuk pelamin yang sudah siap dihias untuk majlis esok.

“Walaupun terkejut dengan kejadian ini, saya dan bakal suami reda dan menganggap ini merupakan ujian sebelum bergelar suami isteri.

“Apa yang boleh dibuat adalah memindahkan semua barangan yang tidak terjejas ke rumah bapa saudara saya yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah kami manakala majlis akad nikah tetap akan berlangsung di masjid kampung ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Abangnya, Al-Azim Hamzah, 26, yang juga bakal melangsungkan perkahwinan berkata, dia tidak menyangka air banjir akan mencecah me­lebihi paras lutut dan pertama kali berlaku di kampung ber­kenaan.

“Ini adalah banjir kilat yang paling buruk pernah berlaku di kampung ini dan saya tidak sangka semua persiapan akan terjejas. Kami telah membuat tempahan kanopi baharu, se­lebihnya majlis akan dite­ruskan tanpa pelamin serta dalam keadaan sederhana sahaja,” katanya.

Sementara itu, bapa pe­ngantin berkenaan, Hamzah Ismail, 57, berkata, sejumlah 1,500 tetamu dijemput untuk majlis itu yang mulanya dirancang untuk diadakan secara besar-besaran kerana ini kali pertama dia mengadakan kenduri kahwin.

“Ini juga adalah permintaan arwah isteri saya supaya me­ngadakan majlis anak-anak di rumah, namun apakan daya Allah sebaik-baik perancang dan pasti ada hikmah atas apa yang berlaku,” katanya.

Sehingga pukul 5 petang ini, sejumlah 427 mangsa daripada 110 keluarga terjejas dengan bencana banjir itu dan kesemua mangsa ditempatkan di tujuh pusat pemindahan sementara iaitu enam di daerah Melaka Tengah dan satu di daerah Jasin.