Kesemua mereka 'digerakkan' dengan menaiki kenderaan termasuk lori dan bot selain dibantu kenderaan pacuan empat roda sejurus dikejutkan dengan bunyi siren kecemasan setelah air empangan berkenaan mencecah paras bahaya 153 meter.

Bagaimanapun, 'situasi mencemaskan' itu adalah sebahagian daripada simulasi banjir sempena program Keselamatan Empangan 'Latih Amal Tindak Balas Kecemasan' Penduduk Mukim Jenagor dan Kuala Berang yang diadakan pagi tadi.

Ketua Penolong Pegawai Daerah HuluTerengganu, Mohd, Zalizan Sulong berkata, program anjuran Jawatankuasa Pengurusan Bencana daerah tersebut diadakan secara bersepadu melibatkan 20 agensi termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan badan bukan kerajaan (NGO).

Menurutnya, lain-lain agensi terlibat ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, program kali keempat itu dengan tahun ini dalam skala lebih besar diadakan sebagai persediaan awal menghadapi segala kemungkinan banjir akibat limpahan air daripada empangan Kenyir.

"Untuk proses pemindahan ini (simulasi) kita pilih 10 buah kampung sekitar Empangan Kenyir dan empat buah sekolah di situ yang melibatkan kesemua 523 mangsa," katanya.

Antara kampung terlibat ialah Kampung Jenagor, Kampung Dura, Kampung Kuala Pueh / Bidor, Kampung Temir, Kampung Pauh, Kampung Tanjung Baru, Kampung Gaung dan Kampung Dusun.