Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, Kamaruddin Abd. Samad, 18, terlepas pega­ngan tangan abangnya, pelajar Kolej Vokasional Seri Iskandar, Lukman, 20, dan adiknya, Mohammad Raihan, enam tahun, yang berenang di belakangnya.

Kamaruddin yang tidak dapat menyembunyikan perasaan sedih dan terkilan de­ngan apa yang berlaku berkata, dia telah cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan abang dan adiknya tetapi tidak mampu melawan arus deras yang menenggelamkan mereka.

Menceritakan kejadian, remaja itu memberitahu, mereka bertiga bersama ayah dan ibu serta seorang lagi adik memukat ikan di kawasan berdekatan.

Ujarnya, sebelum pulang mereka bertiga singgah ke tali air untuk mencuci badan manakala ayah, ibu dan adik pula pulang terus ke rumah di Bukit Chawi.

“Semasa sampai di tali air, saya dan abang terlebih dahulu bere­nang untuk melihat sama ada air deras atau tidak dan apabila merasakan air tenang, kami berpatah balik ke tebing untuk mengambil adik dengan me­ngendongnya secara bergilir-gilir.

“Ketika Lukman mengendong Mohammad Raihan, dia menga­du penat dan saya ajak dia ke tepi untuk berpaut pada rumput. Bagaimanapun belum sempat kami semua berada di tepi tali air, mereka tiba-tiba tenggelam,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Mohamad Zainal Abdullah berkata, operasi mencari kedua-dua mangsa segera dijalankan dan mayat Lukman dijumpai pada pukul 4.50 petang oleh pasukan mencari dan menyelamat.

Katanya, operasi kini sedang dijalankan bagi mengesan seorang lagi mangsa dan setakat pukul 7.30 malam ini, Mohammad Raihan masih belum ditemui.