Kesemua anak kapal KD Perdana itu disambut oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

Ketibaan mereka juga disambut dengan penuh kesyukuran oleh ahli keluarga mereka yang menunggu sejak pukul 9 pagi.

Ahmad Kamarulzaman dijadual mengadakan sidang akhbar berhubung kejadian berkenaan sebentar lagi.

Sementara itu, TLDM dalam kenyataannya lewat malam tadi berkata, ekoran laporan agen perkapalan di Kemaman, Terengganu, semalam, Bilik Operasi Markas Wilayah Laut 1 memohon bantuan pesawat B200T milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk membuat tinjauan ke lokasi dilaporkan.

Menurut kenyataan itu, hasil tinjauan, pesawat B200T melaporkan dan mengesahkan sebuah bot TLDM milik KD Perdana ditemukan kira-kira 167 kilometer Timur Tanjung Gelang bersama dua buah bot nelayan tempatan.

“Seterusnya, aset permukaan TLDM digerakkan ke lokasi penemuan dan setiba di sana, KD Perdana ditugaskan untuk membawa pulang Pasukan Penggeledah dan bot miliknya ke Tambatan Pangkalan Kuantan.

“Pasukan itu disahkan selamat dan dalam keadaan baik. Semua ahli keluarga pegawai dan anggota yang terlibat juga telah dimaklumkan berhubung berita baik ini,” kata kenyataan berkenaan.

Katanya kenyataan itu lagi, pihak Markas Wilayah Laut 1 dan seluruh warga TLDM mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat negara ini yang mendoakan keselamatan Pasukan Penggeledah KD Perdana. - UTUSAN ONLINE