Video oleh MOHD. IZZUL FARHAN

Enam mangsa yang ren­tung menaiki sebuah kenderaan pel­bagai guna (MPV) Proton Exora dan sehingga pukul 10 malam ini, polis masih berusaha mengesahkan identiti mereka.

Dua lagi mangsa yang maut dikenali sebagai Osman Mohamed Taip, 31, serta Rosniza Othman, 32, yang menaiki kereta Perodua Myvi bersama seorang kanak-kanak berusia 3 tahun yang cedera.

Kemalangan kira-kira pukul 2.30 petang itu turut melibatkan sebuah lori treler 22 tayar dan sebuah kereta Toyota Vios.

Ketua Polis daerah, Superintenden Noorzainy Mohd. Noor berkata, sebelum nahas itu berlaku, lori tersebut dari arah Keratong menuju ke Bahau sambil diekori Vios manakala Myvi dan Exora sedang bergerak dari arah bertentangan.

“Lori itu dipercayai cuba memotong sebuah motosikal membawa peti aiskrim tetapi tidak berjaya dan menekan brek menyebabkan ia hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.

“Pada masa sama, Myvi dari arah Bahau menuju ke Keratong cuba mengelak dan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan Vios yang mengekori lori itu.

“Exora yang mengekori Myvi itu pula terbabas dan dihimpit lori berkenaan sebelum terbakar. Akibat daripada kemalangan itu, lapan mangsa disahkan maut dan seorang lagi mangsa mengalami kecederaan,” katanya.

Noorzainy berkata, pemandu Vios, Mohd. Radzi Rahman, 34, dan pemandu lori treler jenis Nis­san, Norzailan Omar, 44, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Jelas beliau, mayat kesemua mangsa yang maut di hantar ke Hospital Jempol dan semakan pihak polis mendapati Myvi tersebut memiliki tiga saman yang pelbagai, manakala Vios dan Exora masing-masing memiliki dua saman pandu laju.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pemandu treler itu akan ditahan reman bagi membantu siasatan. Identiti mayat mangsa akan dimaklumkan selepas dikenal pasti oleh waris,” katanya.