Demikian diceritakan seorang bekas tentera, Mohammad Tajuddin Abdul Majid, 56, berhubung kejadian ribut yang mendatangkan kerosakan kepada lebih 50 buah rumah sekitar daerah ini terma­suk kediamannya di Kampung Alor Teja, dekat sini, petang semalam.

Menurutnya, kejadian itu bermula kira-kira pukul 4 petang ketika dia sedang bersiap untuk ke masjid berhampiran bagi menunaikan solat asar.

“Tiba-tiba hujan lebat dan ribut melanda. Saya bersama isteri dan tiga anak tergamam melihat bumbung di bahagian ruang tamu diterbangkan angin ke kawasan bendang di sebelah rumah.

“Mujur ketika itu kami ber­ada di dapur. Melihatkan kejadian itu, tiada apa yang boleh dilakukan selain daripada berdoa supaya tidak berlaku kejadian lebih buruk,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk, Munah Ishak, 78, memberitahu, dia berlindung di rumah jiran kerana bimbang dengan keadaan cuaca buruk.


Video oleh MOHD. RAFIE AZIMI

“Hujan sangat lebat manakala tiupan angin sangat kuat sehingga mendatangkan bunyi bising. Apabila hujan reda, saya kembali ke rumah dan sedih melihat sebahagian daripada rumah pusaka yang didiami sejak sekian lama, rosak teruk,” ujarnya.

Sementara itu, Pegawai Khas Menteri Besar, Syed Abdul Hafiz Syed Mustafa memberitahu, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah bersetuju untuk memberi bantuan awal maksimum RM500 kepada pemilik rumah yang rosak teruk.

“Selain itu kami turut membawa kotak barangan keperluan asas Program Bantuan Rakyat Kedah (Barakah) untuk disumbangkan. Menteri Besar dalam pada itu telah meminta supaya agensi berkaitan memberi bantuan segera seperti yang sepatutnya mangsa-mangsa ini terima,” katanya.