Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md. Zukir Md. Isa, kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu kereta berkenaan cuba memotong kenderaan di hadapan, namun gagal sebelum melanggar motosikal mangsa yang datang dari arah bertentangan.

Katanya, pihaknya dalam pro­ses mengenal pasti ketiga-tiga mangsa berkenaan.

“Pelanggaran mengakibatkan mangsa dipercayai tiga sekeluarga maut di tempat kejadian ke­rana cedera parah pada bahagian kepala.

“Polis menahan pemandu ke­reta berkenaan yang berusia 20 tahun untuk siasatan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -


Video oleh ABD. RAZAK AID

Sementara itu, di Seremban, seorang kanak-kanak lelaki ber­umur tujuh tahun maut selepas kenderaan yang dinaiki bersama empat ahli keluarganya dirempuh sebuah bas di Kilometer 271.6, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara, di sini petang tadi.

Difahamkan, kejadian kira-kira pukul 6 petang berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban arah utara itu berlaku apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Honda BRV yang dinaiki mangsa dirempuh bas berkenaan yang turut melibatkan MPV Toyota Estima.

Pemandu Toyota Estima, Ng Keng Leong, 51, berkata, ketika kejadian dia bersama keluarga­nya dalam perjalanan pulang ke Klang, Selangor setelah bercuti di Melaka.

Keng Leong memberitahu, dia yang memandu di lorong kedua dari kiri sempat mengelak Honda BRV yang berhenti secara tiba-tiba di lorong sama.

“Ketika itu, bas yang berada di belakang saya gagal mengelak lalu merempuh kedua-dua kende­raan ini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Seorang saudara mangsa ber­kata, MPV Honda BRV itu dinaiki lima sekeluarga iaitu pasangan suami isteri bersama tiga anak mereka.

“Mangsa dalam perjalanan dari Rembau ke Taman Medan, Petaling Jaya, Selangor dan saya melihat anak saudara saya maut manakala empat ahli keluarga lagi cedera parah,” katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai, Deputi Superintenden Azrul Hisham Mohd. Shaffie ketika dihubungi mengesahkan seorang kanak-kanak meninggal dunia da­lam kejadian itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kemalangan itu juga menye­babkan kesesakan sehingga 10 kilometer di sepanjang lebuh raya tersebut.