Video oleh NUR AISYAH MAZALAN

Dalam kejadian pukul 1.45 pagi itu, mangsa berusia 15 tahun yang juga seorang pelajar sekolah menengah berasal dari Taman Scientex, Pasir Gudang meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di tengkuk.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, seorang lagi mangsa berusia 19 tahun yang berasal dari Taman Cendana, Pasir Gudang disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini.

Katanya, seorang lagi penunggang berusia 17 tahun berasal dari Rengit patah kaki, manakala pemandu teksi berusia 38 tahun itu hanya mengalami kecederaan ringan.

“Kejadian berlaku apabila teksi dari arah pusat bandar ini ke Pasir Gudang hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan dan melanggar ketiga-tiga motosikal berkenaan.

“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga penunggang itu sebelum ini dipercayai berhenti di bahu jalan berkenaan untuk membaiki salah sebuah daripada motosikal yang mengalami kerosakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Shahurinain berkata, ujian air kencing ke atas pemandu teksi itu mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis methamphetamine dan kini ditahan bagi membantu siasatan. - UTUSAN ONLINE