Video oleh ASLIZA MUSA

Nahas pada pukul 8 malam itu berlaku setelah kereta jenis Nissan Sunny yang dinaiki tiga bersaudara berkenaan bertembung dengan sebuah treler balak tanpa muatan di Kilometer 44.5, Kampung Jamuan di Kati, dekat sini.

Dalam kejadian itu, Mohammad Asyraf Hamdan Al-Fikri, 27, dan adiknya, Muhammad Irfan, 17, serta anak saudara mereka, Muhammad Amirul Fahmi Samsudin, 12, yang cedera parah maut di tempat kejadian.

Kemalangan tersebut turut mengakibatkan pemandu treler berusia 40 tahun cedera.

Pemangku Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Zahiri Hassan berkata, siasatan awal mendapati kenderaan jenis Nis­san Sunny dinaiki ketiga-tiga mangsa dalam perjalanan dari arah Kuala Kangsar ke Sungai Siput manakala treler tersebut dari arah bertentangan.

Menurutnya, apabila sampai di tempat kejadian, treler dipandu lelaki terbabit dipercayai cuba mengelak haiwan sebelum hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.

“Pertembungan dua buah kenderaan itu menyebabkan kereta mangsa terperosok di bawah treler tersebut. Ketiga-tiga mangsa maut di tempat kejadian manakala pemandu treler cedera.

“Kemalangan itu menyebabkan treler rosak teruk di bahagian hadapan manakala kereta mangsa pula remuk teruk di seluruh bahagian. Mayat kesemua mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat,” katanya.

Zahiri memberitahu, ujian air kencing telah dijalankan terhadap pemandu treler dan didapati negatif manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Mohd. Taufiq Abd. Sattar berkata, beliau bersama 10 anggota bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja dimaklumkan mengenai nahas tersebut.

Ujarnya, semasa pihaknya sampai, didapati sebuah kereta Nissan Sunny telah remuk dan berada di dalam longkang manakala sebuah treler tanpa muatan berada di atas kenderaan tersebut.

“Bagi memudahkan operasi menyelamat, kren digunakan bagi mengangkat kedua-dua kenderaan berkenaan dan operasi mengeluarkan kesemua mangsa mengambil masa berikutan kedudukan dan keadaan kereta yang remuk.

“Kesemua mangsa yang tersepit di dalam kenderaan bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia. Mayat kesemua mereka diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” tambahnya.