Dia yang tidak dapat mengungkap kesedihannya, namun reda dengan kejadian kira-kira pukul 12.45 tengah hari itu yang turut mengakibatkan  tujuh beranak tinggal sehelai sepinggang selepas gagal menyelamatkan barangan ekoran api marak dengan terlalu cepat.

 Rani berkata, dia yang ketika itu berada di bilik air dan berseorangan di rumah hanya menyedari tentang kebakaran itu menerusi jeritan jirannya bahawa bahagian depan rumahnya terbakar.

Diaa yang sedang mandi selepas pulang dari kebun segera keluar dan naik ke tingkat atas untuk memeriksa bahagian yang terjejas sebelum mendapati api marak dari sebuah bilik tidur.

"Saya kemudian ambil air dan cuba padamkan api tetapi struktur rumah bahagian atas yang diperbuat daripada kayu menyebabkan api marak terlalu cepat.

"Tidak lama selepas itu, anak lelaki saya balik dan kami sama-sama cuba padamkan api tetapi sebab asap terlalu tebal dan kami hampir lemas jadi kami cepat-cepat keluar dari rumah," katanya kepada pemberita.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat daerah, Ab. Halim Mat Adam berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 12.55 tengah hari dan seramai 35 pegawai dan anggota serta lima jentera dari balai Kuala Terengganu, Wakaf Tapai dan Marang bergegas ke lokasi kejadian.

"Api sudah marak ketika bomba tiba dan berjaya dikawal pada pukul 1.31 petang sebelum dipadam sepenuhnya 27 minit kemudian.

Kejadian dipercayai berlaku akibat litar pintas, namun siasatan lanjut berhubung punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian masih dijalankan," katanya. - UTUSAN ONLINE