Presiden UniKL, Prof. Datuk Dr. Mazliham Mohd. Su’ud berkata, misi bantuan ‘UniKL [email protected] Mission’ itu bakal me­nyasarkan kerja-kerja pembersihan kawasan awam di sekitar Seberang Prai.

“Penghantaran sukarelawan se­perti ini merupakan kesinambu­ngan daripada misi terdahulu yakni ketika banjir besar di Pantai Timur pada tahun 2014 dan 2015. Komitmen yang diberikan sukare­lawan amat memberangsangkan.

“Alhamdulilah walaupun dalam masa yang singkat, hasrat universiti untuk membantu mang­sa banjir di kawasan terlibat berjaya direalisasikan. Daripada 300 sukarelawan itu, sebanyak 276 merupakan pelajar UniKL dari 12 kampus seluruh Malaysia,” ujarnya ketika ditemui pemberita selepas pelepasan konvoi sukarelawan di Kampus UniKL-Bri­tish Malaysia Institute, Gombak, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Presiden Pembangunan Mahasiswa dan Gaya Hidup Kampus UniKL, Prof. Datuk Dr. Khairanum Subari dan Timbalan Pre­siden Pembangunan dan Kelestarian UniKL, Datuk Salmah Hayati Ghazali.

Tambah Mazliham, kesemua pelajar yang menyertainya adalah secara sukarela tanpa sebarang paksaan dari pihak universiti demi menyampaikan bantuan bernilai RM60,000 kepada mereka yang kurang bernasib baik.

“Untuk memastikan kejayaan sesuatu misi, keikhlasan itu penting dan itu yang kita mahu daripada mereka (sukarelawan). Bantuan yang kita bawa adalah berupa barangan keperluan ha­rian seperti tuala, selimut dan pek makanan.

“Selain itu, UniKL juga sudah mengenal pasti 108 keluarga pelajar dan lima keluarga kakitangan universiti yang terlibat de­ngan bencana. Bantuan bernilai RM200 akan disampaikan kepada mereka,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pemangku Raja Pahang yang juga Tuanku Canselor UniKL, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah turut me­nyampaikan sumbangan peribadi baginda dalam misi berkenaan.