Walaupun begitu, masyarakat masih tidak mengendahkan bahaya tersebut apabila kerap menjadikan lombong sebagai lokasi memancing atau kawasan rekreasi bersama keluarga.

Tetapi tahukah anda bahawa air lombong bijih timah sebagai contoh mengandungi logam berat seperti kromium yang jika memasuki badan manusia boleh mengundang pelbagai jenis kanser.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Mohd. Ekhwan Toriman mendedahkan, seba­nyak 90 peratus daripada bekas lombong yang terdapat di negara ini adalah hasil daripada aktiviti kuari dan perlombongan tanah, emas serta pasir.

Jelas beliau, ciri-ciri lombong berkenaan adalah tanah akan dikorek sehingga ke lapisan dikenali 'hard rock’ pada kedalaman 30 meter sebelum air dipam masuk untuk tujuan perlombongan.

Katanya, baki 10 peratus lagi adalah lombong bijih timah tinggalan zaman kolonial Bri­tish yang jumlahnya mencecah 100 buah atau lebih dan banyak terdapat di sekitar Selangor, Perak, Terengganu dan Johor.

“Kalau ditanya lombong mana paling berbahaya sebenarnya dua-dua bahaya. Lombong bijih timah mengandung logam berat yang boleh memudaratkan kesihatan, lombong kuari pula ada banyak lumpur dan tidak sesuai dilakukan aktiviti rekreasi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, sungguhpun dianggap sebagai berbahaya, Mohd. Ekhwan kecewa kerana kebanyakan kawasan bekas lombong tidak memiliki ciri-ciri keselamatan seperti pagar penghadang atau papan tanda amaran.

Walaupun memiliki Akta Perlombongan Mineral 1994 dan beberapa garis panduan untuk kegunaan pihak berkuasa tempatan (PBT), namun jelasnya, semua itu tidak mampu mengawal selia bekas-bekas lombong kerana tiada peruntukan.

“Mungkin sudah tiba masa­nya akta dan enakmen berkaitan lombong disemak semula bagi mewujudkan sistem pengurusan yang berkesan dan mengelakkan perkara tidak diingini berulang,” katanya.