Sawiyah serta anak bongsunya Mohd. Umar Kechik, 30, meninggal dunia selepas kereta Proton Persona dinaiki mereka dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terlibat dalam kemala­ngan dengan sebuah lori tiga tan di Jalan Seremban-Kuala Pilah dekat sini.

Anak sulung Sawiyah, Norliza Kechik, 47, berkata, dia bersama empat beradik berkumpul di rumah ibu di Kampung Baru Ayer Hitam sejak tengah hari semalam untuk menyambut kepulangannya, manakala adik lelaki mereka, Mohd. Umar ditugaskan menjemput ibu di KLIA.

“Kami sudah berpakat, Ateh (Mohd. Umar) akan jemput emak di KLIA dan yang lain akan menunggu di rumah, namun hari ini yang dinantikan hanyalah jenazah emak dan Ateh.

“Pagi tadi, semasa membuka beg umrah arwah emak, kami hanya jumpa dua kopiah dewasa yang dibeli, sedangkan emak ada tiga orang anak lelaki. Mungkin dia sudah dapat rasa Ateh akan pergi bersamanya,” katanya ketika ditemui di Kampung Baru Ayer Hitam di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 3.20 petang semalam, kereta Proton Persona yang dipandu Mohd. Umar bertembung dengan sebuah lori di Jalan Seremban-Kuala Pilah, dekat Bukit Putus.

Kemalangan itu menyebabkan Sawiyah maut di tempat kejadian manakala Mohd. Umar mening­gal dunia sewaktu dalam perjalanan ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) untuk menerima rawatan.

Sementara itu isteri Mohd. Umar, Siska Amri, 32, dan tiga anaknya masing-masing berumur lapan dan tujuh tahun serta bayi lapan bulan yang turut menaiki kenderaan itu mengalami kecederaan.

Jenazah kedua-dua mang­sa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baru Ayer Hitam.