Che Wan Mohd. Noor Che Wan Tahir, 70, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dalam kemalangan pukul 4.15 petang itu.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Said Ibrahim ketika mengesahkan kejadian itu berkata, nahas berlaku sewaktu mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Perpaduan, Kerteh.

Beliau memberitahu, sebaik sahaja masuk ke satu simpang, motosikal yang ditunggangi mangsa telah dilanggar sebuah kereta yang datang dari arah Kuala Terengganu ke Kuantan.

"Hasil pemeriksaan mendapati kereta terbabit dipercayai tidak sempat mengelak mangsa lalu melanggar bahagian kiri motosikal menyebabkan mangsa tercampak sejauh beberapa meter ke bahu kiri jalan," katanya.

Menurutnya, pada masa sama sebuah lagi motosikal yang ditunggangi seorang wanita berusia 25 tahun yang berada di belakang kereta tersebut juga tidak sempat mengelak sebelum melanggar kereta terbabit.

"Wanita itu turut tercampak ke atas jalan raya dan mengalami kecederaan pada rahang mulutnya manakala motosikal yang ditungganginya mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan," sambil menambah, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat manakala wanita terbabit dibawa ke Unit Kecemasan hospital berkenaan dan keadaannya dilaporkan stabil. - UTUSAN ONLINE