Dalam kejadian kira-kira pukul 12.19 tengah hari, kesemua mang­sa yang tiga daripadanya dipercayai adik-beradik sedang berehat bersama keluarga ketika rumah kongsi di lereng bukit yang didiami 11 warga asing di Ladang Kelapa Sawit Sen Fu itu ranap ditimbus tanah runtuh.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam satu kenyataan berkata, empat mangsa telah disahkan selamat manakala tujuh yang lain belum ditemukan, justeru operasi mencari dan menyelamat telah dipergiatkan.

“Sehingga pukul 5 petang ini, empat mangsa telah diselamatkan iaitu dua dewasa dan dua kanak-kanak.

“Tujuh lagi mangsa iaitu dua remaja perempuan berumur 17 tahun, dua kanak-kanak lelaki berumur 13 tahun dan tiga kanak-kanak berumur 8 tahun masih belum ditemukan,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut APM, pihaknya berdepan kesukaran menjalankan tugas-tugas menyelamat disebabkan sebuah jambatan menuju ke ladang berkenaan rosak serta kejadian banjir lumpur di Sungai Labau.

Katanya, polis menerima aduan daripada pengurus sebuah ladang kelapa sawit di kampung itu yang mengatakan tanah runtuh itu berlaku kira-kira 12.19 tengah hari dan turut menghempap rumah pekerja ladang kelapa sawit berkenaan.

“Rentetan daripada panggilan itu, anggota APM Keningau yang bertugas bergegas ke lo­kasi kejadian.

“Sebanyak 18 anggota daripada APM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama aset-aset penyelamat telah dihantar ke lokasi,” katanya.

Menurutnya, kawasan pencarian juga telah diperluaskan sehingga ke Kampung Alitang, Tongod apabila tujuh anggota bersama aset penyelamat turut dihantar ke Sungai Milian untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat jika ada mana-mana mangsa yang dihanyutkan kerana sungai tersebut bersambung de­ngan Sungai Labau.