Pemangku Ketua Polis Daerah Jempol, Deputi Superitendan Azham Shah Azlan berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 8.30 malam ketika lori milik Felda Transport Services Sdn. Bhd. itu dalam perjalanan dari Pasir Gudang, Johor menuju ke arah Serting.

Katanya, sekumpulan lembu telah melintas jalan tersebut dan pemandu lori itu tidak sempat mengelak menyebabkan kenderaannya melanggar tujuh ekor lembu.

“Pemandu lori, Abdul Nasir Mohammad, 54, bagaimanapun tidak mengalami kecederaan dalam kejadian itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, orang awam yang hanya dikenali sebagai Chong, 53, mendakwa, tujuh lembu yang mati termasuk anak lembu itu dipercayai milik penduduk kampung berhampiran.

Menurutnya, lembu terbabit kebiasaannya dilepaskan di ladang sawit berdekatan oleh pemiliknya tetapi haiwan berkenaan telah memasuki jalan raya malam semalam.

Semua bangkai lembu itu dipercayai diuruskan oleh pihak Majlis Daerah Jempol (MDJL) dan ditanam di satu kawasan berhampiran ladang sawit di lokasi kejadian. - UTUSAN ONLINE