Namun mereka tidak terus berduka dan meratapi bencana itu sebaliknya meneruskan kehidupan seperti biasa dengan kebanyakannya menjadi nelayan dan kawasan itu juga terus menerima kunjungan orang luar.

Lokasi yang terkenal de­ngan Pasar Bisik itu terus dikunjungi oleh pembeli ikan selain menjadi lokasi pelancongan kerana tradisi unik membeli ikan segar dengan cara berbisik antara pembeli dan peniaga.

Menurut Saad Jaafar, 84, tragedi yang berlaku pada waktu tengah hari itu masih segar dalam ingatannya kerana ketika itu kebanyakan penduduk sedang berehat di rumah selepas penat pulang dari laut.

Katanya, dia yang ketika itu baru selesai menunaikan solat zohor di sebuah surau di situ dikejutkan dengan be­rita ombak kuat melanda kawasan itu sehingga melimpahi kawasan masjid yang sedang dalam pembinaan.

“Mujurlah di kampung kami tidak seteruk kawasan Kota Kuala Muda, Kedah yang me­ngorbankan banyak nyawa selain memusnahkan harta benda yang bukan sedikit.

“Di sini hanya seorang mangsa yang terkorban apabila di­timpa bot ketika mengalihkan botnya manakala lebih 100 bot milik nelayan rosak teruk dilambung ombak ganas itu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambahnya, tragedi itu tetap kekal di ingatan generasi lama di kampung itu dan kisahnya diperturunkan kepada golongan muda yang lahir selepas 2004 sebagai kenangan kepada mereka.

Sementara itu, bagi Shahdan Said, 40-an, dia masih meneruskan kerjaya sebagai nelayan biarpun ada kalanya hati diusik rasa bimbang sekiranya tragedi itu berulang.

Jelasnya, pekerjaan sebagai nelayan adalah sumber pendapatannya sejak dulu dan dia tidak akan sesekali meninggalkan pekerjaan yang menjadi darah dagingnya itu.

“Pada hari kejadian saya tak berada di kampung kerana menghadiri kenduri di luar tetapi sebaik sahaja pulang, keadaan kacau bilau di kampung dengan banyak rumah yang musnah selain dibanjiri air laut.

“Namun kini penduduk di sini kembali meneruskan kehidupan seperti biasa dan nelayan pun kembali turun ke laut untuk menangkap ikan sebab itulah punca pendapatan mereka,” ujarnya.