Lemas Sungai Buloh
UNIT anjing pengesan (K9) dalam operasi mencari lima mangsa yang dikhuatiri hanyut ketika memancing semalam di Sungai Gasi, Sungai Buloh. UTUSAN ONLINE/FAISOL MUSTAFA

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Azmi Osman berkata, jarak pencarian diperluaskan selepas mengambil kira arus deras sungai sejak semalam.

“Pada hari ini, sebanyak 70 anggota bomba menyertai operasi pencarian dengan kerjasama 86 anggota polis termasuk Unit Anjing Pengesan (K9) serta bantuan daripada agensi-agensi lain,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, dekat sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden S. Somu memberitahu, setakat ini dua mangsa lelaki telah ditemukan dan disahkan mati lemas.

Lemas Sungai Buloh
PENGARAH JBP Selangor, Azmi Osman (tengah) dan Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden S. Somu (kanan) bercakap pada sidang akhbar operasi mencari lima mangsa lemas dikhuatiri hanyut ketika memancing semalam di Sungai Gasi, Sungai Buloh hari ini. - UTUSAN ONLINE/FAISOL MUSTAFA

“Mangsa pertama yang ditemukan pada pukul 9.51 malam tadi disahkan identitinya sebagai Jamaluddin Rapawi, 14, manakala mangsa kedua lelaki warga Indonesia dikenali sebagai Hashir, 38, dijumpai kira-kira 2.3 kilometer dari pusat operasi di Kampung Paya Jaras Hulu pada pukul 1.26 pagi tadi.

“Kedua-dua mayat telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh bagi proses pengecaman dan bedah siasat. Operasi masih giat dijalankan,” ujarnya.

Identiti tiga lagi mangsa yang masih hilang ialah Jaleha Hashim, 48; Silawati Zailan, 31; dan Rapawi Jum’ada, 37. - UTUSAN ONLINE