Mengakui nyawa mereka berada di hujung tanduk, juragan bot itu, Husni Kamsi, 48, berkata, mereka hampir putus harapan apabila melihat air laut mula memenuhi bot berkenaan, namun tidak berhenti mencari ikhtiar

Katanya, dalam situasi cemas itu, mereka mendapat idea untuk menggunakan beberapa tong ikan kosong yang ada sebagai pelampung tambahan yang diikat di sekeliling bot berkenaan daripada tenggelam.

“Saya tidak menyangka ikhtiar itu berjaya mengapungkan semua bot walaupun dipukul kuat oleh ombak yang bergelora,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, selepas berjaya mengapungkan bot, dia bersama enam lagi rakannya iaitu Mulbin, 54, Romil, 32, Dadit, 23, Joppre, 21, Appril, 18 , dan Alkadre, 15, kemudiannya berusaha mengemudi bot dengan berhati-hati hampir 24 jam untuk balik ke Pulau Gaya.

Dalam kejadian itu, ketujuh-tujuh mereka bersama lima rakan kaki pancing yang lain iaitu, Sibar, 26, Musimal, 19, Ridzmal, 21, Azmer, 31, dan Algapal, 31, menggunakan dua bot turun ke laut untuk memancing berhampiran sebuah pelantar minyak di perairan Labuan

Kegembiraan mereka kemudiannya bertukar cemas apabila cuaca buruk melanda kira-kira pukul 3 pagi kelmarin, namun lima rakan mereka yang menggunakan sampan berjaya di­selamatkan oleh sebuah kapal kargo selepas melihat mangsa meminta pertolongan.

Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd. Zubil Mat Som mengesahkan kesemua mangsa telah selamat pulang ke pangkuan keluarga masing-masing pada pukul 7 petang semalam.


 “Sehubungan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa hilang yang melibatkan keluasan sektor pencarian merangkumi keluasan 1,575 kilometer persegi tamat pada pukul 8 malam tadi,” ujarnya.